As salam semua kawan2...yang bujang2 tu,meh baca dulu ciri2 lelaki yg boleh korang jadikan suami..ramai sangat lelaki zaman skrg yang xder ciri2 mcm yg aku listkan kat bawah ni...so,layan ye :)
Pertama: Agama
Ciri pertama yang mesti diperhatikan ialah agama calon
suami. Pastikan suami seorang muslim. Jika dia seorang bukan muslim, jemputlah
dia ke arah agama Islam. Pastikan sebab utama dia memeluk Islam ialah kerana
sayangkan Allah dan Rasulullah, bukan kerana sayangkan anda.
Jika calon memang beragama Islam, maka langkah seterusnya
ialah memerhatikan tahap keislamannya. Kita tidak mahu Islam yang biasa-biasa,
tetapi muslim yang berilmu, beriman dan beramal shalih.
Di sini calon suami bukanlah semestinya seorang ustaz
berkelulusan jurusan agama. Akan tetapi dia hendaklah orang yang menaruh minat
kepada Islam, berusaha untuk mendalami ilmu-ilmunya, rajin mengerjakan amal
shalih dan menjauhi perkara mungkar. Ini penting kerana suami dipertanggungjawabkan
untuk memelihara dirinya dan rumahtangganya dari api neraka. Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu
dan keluarga kamu dari neraka.” (Surah al-Tahrim 66:06)
Perkara penting untuk turut diperhatikan, jangan hanya
harap suami memiliki nilai agama yang bagus. Anda juga sebagai isteri mesti
memiliki nilai agama yang baik agar dapat memainkan peranan sebagai isteri yang
berilmu, beriman dan beramal shalih. Tidak dilupakan, sebagai isteri yang dapat
menasihati dan membetulkan suami.
Ini kerana kaum muslimin (lelaki) dan muslimat (perempuan)
sebenarnya saling membantu antara satu sama lain, seperti firman Allah SWT yang
bermaksud, “Dan orang-orang lelaki yang beriman dan
orang-orang perempuan yang beriman, sebahagiannya menjadi penolong bagi
sebahagian yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada
berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta
taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya
Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Taubah 9:71)
Kedua: Keluarga
Ciri kedua yang perlu diperhatikan ialah sikap calon suami
kepada keluarganya, khasnya ibubapanya. Ini kerana Islam amat menekankan
seorang anak untuk berbuat baik kepada ibubapanya. Rasulullah bersabda: “Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala
kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.” (Shahih Sunan
al-Tirmizi, no: 1899)
Maka calon suami itu jika dia memiliki kefahaman agama
yang baik akan memastikan ibu bapanya redha dan senang menerima anda sebagai
bakal menantu. Jika tidak, dia akan bercakap dengan penuh hikmah dan hormat
bagi menyakinkan ibubapanya menerima anda sebagai bakal menantu. Dia tidak akan
membelakangkan ibubapanya kerana anda, dia tidak akan menderhakai ibubapanya
kepada anda. Calon suami hendaklah pandai memainkan peranannya di jalan
pertengahan di antara ibubapanya dan anda sebagai bakal isterinya.
Di antara ayah dan ibu, seorang anak hendaklah
mengutamakan ibunya. Justeru perhatikan bagaimana layanan calon suami terhadap
ibunya kerana ia memiliki kaitan yang amat kuat dengan bagaimana dia bakal
melayan anda sebagai isteri. Seorang anak lelaki yang melayan ibunya dengan
penuh keprihatinan besar kemungkinan akan melayan bakal isterinya dengan penuh
keprihatinan juga. Seorang anak lelaki yang mengabaikan ibunya besar
kemungkinan akan mengabaikan isterinya juga.
Ketiga: Ciri Kepimpinan
Lelaki, yakni suami, ialah pemimpin dalam sebuah institusi
keluarga. Allah menyatakan tanggungjawab ini, “Kaum
lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum
perempuan.” (Surah al-Nisa’ 4:36)
Maka hendaklah anda memerhatikan ciri-ciri kepimpinan
calon suami anda. Berikan dia satu senario dan perhatikan bagaimana dia membuat
keputusan. Berikan dia satu permasalahan dan perhatikan bagaimana dia
menyelesaikannya. Berikan dia satu perancangan dan perhatikan bagaimana dia
mengaturnya. Berikan dia satu amanah dan perhatikan bagaimana dia
bertanggungjawab ke atasnya.
Berkenaan ciri kepimpnan ini, hendalah diketahui bahawa
kebanyakan lelaki masa kini ketandusan ciri kepimpinan. Ini kerana kebanyakan
ibubapa mendidik anak lelaki dengan cara membiarkan mereka bermain di luar
rumah sesuka hati manakala anak perempuan dididik sikap tanggungjawab
menguruskan adik-adik dan pelbagai urusan lain. Hasilnya, kebanyakan wanita
bersikap dewasa dan bertanggungjawab manakala kebanyakan lelaki bersikap
“sesuka hati” dan tidak memiliki hala tuju yang tertentu.
Berpijak atas sejarah pendidikan ini, maka janganlah
mengharapkan calon suami memiliki ciri kepimpinan yang baik. Boleh dijangkakan
dia lemah dalam bab ini, maka anda boleh memainkan peranan menyedarkannya dari
tidur yang lena. Berikan dia masa dan ruang untuk meningkatkan ciri kepimpinannya.
Keempat: Kewangan
Suami bertanggungjawab ke atas kewangan (nafkah)
isterinya. Rasulullah mengingatkan para suami: “Bertaqwalah
kepada Allah berkenaan isteri-isteri kalian….mereka memiliki hak di atas kamu,
iaitu nafkah dan pakaian pada kadar yang berpatutan.” (Shahih Muslim,
no: 2137)
Perlu dibezakan, tanggungjawab kewangan suami ke atas
isteri bukanlah bererti suami mesti kaya. Tidak ada manfaat memiliki suami yang
kaya tetapi kedekut, suami yang berharta tetapi tidak memberi nafkah, suami
yang berstatus tinggi tetapi masih meminta duit isteri. Akan tetapi yang
penting lagi bermanfaat ialah suami yang sedar tanggungjawabnya untuk memberi
nafkah kepada isteri pada kadar yang dia mampu.
Perlu juga ditekankan, suami tetap wajib memberi nafkah
kepada isteri sekalipun isteri memiliki harta atau pendapatan sendiri. Suami
tidak boleh mengabaikan tanggungjawabnya memberi nafkah kepada isteri yang kaya
atau berpendapatan, juga tidak boleh memaksa isteri mengeluarkan belanja untuk
menampung kewangan keluarga. Isteri dibolehkan mengeluarkan belanja atas
pilihan dirinya secara rela, bukan paksaan.
Kelima: Akhlaknya
Ciri kelima yang tidak kurang penting ialah akhlak calon
suami. Rasulullah SAW menekankan: “Sesungguhnya
tidaklah sikap santun terdapat pada sesuatu melainkan ia menghiasinya dan
tidaklah ia (sikap santun) tercabut dari sesuatu melainkan ia memburukkannya.”
(Shahih Muslim, no: 2594)
Cara penampilan, kekemasan pakaian, arah pandangan, bahasa
percakapan, kesungguhan mendengar, kejujuran mengaku salah, rendah diri
menerima teguran, sabar terhadap apa yang tidak diingini, tenang dalam suasana
marah, senyum dalam suasana tenang dan tegas dalam suasana dizalimi, semuanya
adalah akhlak mulia yang perlu diperhatikan.
Jangan sekadar memerhatikan akhlak calon suami kepada anda
kerana lazimnya ia mestilah baik. Akan tetapi perhatikan akhlak dia kepada
orang lain seperti ahli keluarga, rakan kerja, peniaga buah dan pelayan
restoran. Dengan cara ini anda dapat bezakan sama ada akhlak baik yang
ditunjukkan calon suami kepada anda adalah tulen atau pura-pura.
**Jangan sampai tersilap pilih... kelak anda juga yang
merana. Kepada sape2 yg single lagi tu,cari la calon suami idaman anda dengan
tepat.